Lelaki maut dalam kemalangan di Jalan Sibu-Selangau

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit.

SIBU, 3 Sept: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia dalam kemalangan di Simpang Bijih Jalan Sibu-Selangau, di sini semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 8.07 malam dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau dikerahkan ke lokasi kejadian.

Katanya, kemalangan dilaporkan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira dengan lori muatan kayu balak.

“Terdapat seorang mangsa di tempat duduk pemandu Proton Wira tersepit dan telah disahkan meninggal dunia selepas berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Manakala pemandu lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pasukan bomba kemudian melakukan pembersihan serpihan kemalangan di jalan raya bagi mengelakkan sebarang risiko dan bahaya kepada orang lain,” katanya.

Anggota bomba kemudian berangkat balik ke balai dan operasi ditamatkan pada jam 9.41 malam.

Punca kemalangan masih dalam siasatan polis. — DayakDaily