Oleh Dean Adam
MIRI, Jan 27: Lagi kes penipuan melibatkan penjawat awam yang ditipu kes pembelian secara dalam talian.
Kes terbaharu melibatkan seorang lelaki berusia 25 tahun yang kerugian sebanyak RM1,200, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa telah ternampak iklan tawaran tayar kereta di dalam laman Facebook (FB) dan mangsa telah berminat dengan iklan tersebut kerana harga tayar kereta adalah murah.
Katanya, mangsa seterusnya menghantar messenger ke FB tersebut untuk mendapatkan nombor telefon penjual pada 25 Januari lepas.
“Keesokan harinya, mangsa telah berhubung dengan seorang lelaki bernama Wan Safarudin Wan Alias melalui WhatsApp (nombor telefon telah diberikan melalui messenger) berkenaan pembelian tayar kereta.
“Kemudian mangsa diminta oleh suspek untuk memasukkan wang berjumlah RM1,200 terlebih dahulu sebelum barangan dihantar,” katanya di sini hari ini.
Mustafa menambah, mangsa seterusnya telah membuat pemindahan wang berjumlah RM1,200 secara ‘online’ ke akaun Maybank suspek.
Ujarnya, kemudian suspek mengatakan dia berada di Sri Aman dan akan menghantar barang melaui bas dari Sri Aman pada 26 Januari lepas dan dijangka sampai jam 11 pagi di Stesen Bas Miri.
“Namun suspek tidak memberikan nama syarikat bas yang digunakan.
“Setelah barangan tidak diterima, mangsa menyedari telah ditipu apabila suspek gagal dihubungi selepas itu,” katanya. -DayakDaily