Hujan berterusan akibat banjir di Kampung Pangi

Pasukan bomba membantu mangsa yang terjejas banjir di Kampung Pangi, Lawas.

Oleh Dean Adam

LAWAS, Jan 27: Hujan lebat yang berterusan sejak semalam telah mengakibatkan kawasan rendah di Kampung Pangi di sini terjejas akibat banjir malam tadi.

Kejadian itu telah menyebabkan sebuah keluarga terjejas apabila kediaman mereka dinaiki air banjir sedalam kira-kira 0.9 meter.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian banjir tersebut telah menjejaskan enam sekeluarga yang menetap di kediaman berkenaan.

Bagaimanapun katanya, mereka telah berpindah ke rumah keluarga terdekat mereka bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

“Setakat ini, keadaan masih terkawal dan tiada pusat pemindahan sementara dibuka.

“Pasukan bomba dan anggota keselamatan lain masih melakukan kerja-kerja pemantauan bagi memastikan keadaan terkawal,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, penduduk kampung juga diminta sentiasa bersiap sedia untuk berpindah sekiranya keadaan semakin buruk. – DayakDaily