Akibat teruja beli telefon pintar murah, pemuda rugi RM709

Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 27: Gara-gara teruja dengan tawaran menarik untuk memiliki sebuah telefon pintar dengan harga murah dalam, seorang lelaki kerugian RM709, semalam.

Mangsa berusia 23 tahun itu dilaporkan terpedaya dengan tawaran harga murah telefon bimbit jenis Xiaomi Pocophone F1.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, mengikut laporan diterima, mangsa telah berurusan dengan penjual atau suspek melalui WhatsApp di talian 016-3604872.

Katanya, mangsa kemudian bersetuju dengan membeli telefon bimbit tersebut dengan harga RM709 termasuk caj penghantaran.

“Pada hari yang sama mangsa telah membuat bayaran wang berjumlah RM709 melalui aplikasi Maybank2u ke akaun Maybank atas nama Felix Abel Hiu Cheng.

“Setelah bayaran dibuat, penjual memberitahu akan menghantar barangan tersebut pada 25 Januari lepas,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, mangsa kemudian meminta ‘tracking number’ barangan tersebut daripada penjual itu, namun tiada respon diterima.

Katanya, mangsa seterusnya merasa telah ditipu apabila barangan tidak diterima dan suspek gagal dihubungi, WhatsApp mangsa turut disekat oleh suspek.

“Justeru, polis minta orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat atau tipu helah pihak-pihak tertentu yang menawarkan barangan murah secara dalam talian

“Sekiranya penjual tidak mahu berjumpa atau menggunakan akaun atas nama orang lain bagi urusniaga tersebut, anda mungkin sedang ditipu.

“Jangan terpedaya dengan pujukan atau desakan penjual kononnya pembeli lain juga sedang ingin membeli barangan tersebut,” katanya. -DayakDaily