Nekad larikan diri dari rumah kurungan di Dubai, selamatkan tujuh pemuda

Fadillah (duduk kanan) pada sesi bertemu mangsa di Kuching. Turut kelihatan Syed Azwan (berdiri kiri).

KUCHING, 17 Dis: Tindakan nekad melarikan diri setelah dikurung lebih tiga bulan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyelamatkan tujuh pemuda Sarawak daripada sindiket penipuan pekerjaaan.

Menceritakan pengalaman pahit itu, mangsa Syed Azwan Wan Abdul Karim, 20, berkata, mereka diselamatkan oleh kereta peronda polis lebih kurang 100 meter daripada kediaman (rumah kurungan) di satu kawasan pendalaman di Dubai.

“Setelah mengetahui ditipu, gaji tidak dibayar dan dengan hanya diberi makan roti dan telur selama tiga bulan, kami merancang untuk melarikan diri.


“Peluang dibenarkan untuk ‘jogging’ di kawasan luar rumah pada waktu petang digunakan sebaiknya oleh kami melarikan diri melalui pintu pagar,” katanya ketika ditemui semasa sesi bersama Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof di sini hari ini.

Tambah Syed Azwan, sejak tiba di Dubai pada Ogos lepas, mereka dipaksa bekerja mulai 6 pagi hingga 11 malam bagi operasi judi atas talian.

Manakala kawasan rumah yang dikenal sebagai ‘villa’ dikawal oleh anjing.

Katanya, tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan di Dubai diterima melalui aplikasi Telegram.

Namun jelas beliau, pihak majikan terlibat tidak menyatakan jenis pekerjaan yang mereka akan lakukan.

“Kita hanya diminta datang ke Dubai dengan semua perbelanjaan termasuk urusan passport ditanggung majikan.

“Sebaik tiba, telefon pintar dan passport kami dirampas dan kami dibawa ke satu kawasan pendalaman di Dubai.

“Mulai saat itu juga, kami menyedari sudah tertipu,” ujar Syed Azwan yang berasal dari Kampung Sungai Midin, Petra Jaya.

Menurut beliau lagi, mereka hanya dibenarkan membuat panggilan kepada keluarga seminggu sekali dengan setiap perbualan dikawal oleh penjaga ‘villa’.

Enam mangsa yang lain ialah Mohamad Adha Awang Azahari, 23, dari Kampung Semariang Lama, Mohamad Azam Abdullah, 23, (Kampung Pulo Ulu), Mohd Izzul Hydad Suhardi, 24, (Kampung Sungai Budak), Mohd Azzaruddin Shah, 20, (Kampung Semariang Lot), Ainul Latif, 28, (Kampung Tupong Tengah) dan Ashraf Salehhin Hazmi, 24, juga dari Kampung Tupong Tengah.

Kesemua mangsa telah dibawa pulang oleh Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai pada semalam.

Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan, kesemua mangsa telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 8.10 pagi Jumaat. ā€” DayakDaily