Lelaki hilang ditemui mati di kawasan ladang sawit

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui mati.

SERIAN, Mei 1: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumahnya di Kampung Danau, Melikin di sini sejak semalam ditemui mati di kawasan ladang sawit berhampiran kampung berkenaan, hari ini.

Mangsa, Sadang Kanjah, 41, ditemui mati oleh pekerja ladang sawit warga Indonesia kira-kira pukul 9.30 pagi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian, Muhamad Syamil Mustafa Kamal berkata, sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi penemuan mayat mangsa sebaik menerima laporan berhubung kejadian.


Katanya, jarak mangsa ditemui ialah kira-kira 1.6 kilometer (km) dari rumahnya.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba menemui mangsa dalam keadaan tidak bernyawa lagi.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke kampung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Syamil memberitahu, operasi mencari dan menyelamat mangsa ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.55 pagi.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan penemuan mayat mangsa.

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke hospital untuk dibedah siasat.

“Buat masa ini, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. — DayakDaily