Fasa 1 Jalan Ulu Sikat-Sebakong di Mukah siap Januari 2019 — Julaihi

Julaihi (tiga dari kiri) bersama pegawai JKR semasa melawat ke tapak projek Fasa 1 Jalan Ulu Sikat-Sebakong di Mukah.

KUCHING, Mei 1: Pembinaan Fasa 1 bagi Jalan Ulu Sikat-Sebakong sepanjang 12.9 kilometer di Mukah, yang menelan kos kira-kira RM75.4 juta dijangka siap menjelang Januari tahun depan, kata Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi.

Menurutnya, projek tersebut yang diluluskan pada Januari tahun lepas kini sudah mencapai tahap 55 peratus siap, malah turut mendahului jadual kira-kira 2 peratus.

Beliau menambah sepanjang 9.5 kilometer daripada jalan tersebut akan dibina dengan standard R3 manakala 3.5 kilometer lagi dengan standard R1, termasuk pembinaan jambatan konkrit sepanjang 30 meter.


“Pelaksanaan projek ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk menaik taraf kawasan Mukah,” katanya setelah mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan.

Justeru, ADUN Sebuyau itu berkata apabila siap, jalan tersebut akan memanfaatkan lebih 1,500 orang penduduk daripada 14 rumah panjang di kawasan berkenaan. — DayakDaily