SFC rampas 1,565 kayu balak haram yang dipotong

Pasukan penguatkuasa SFC memeriksa kayu balak yang sudah dipotong di sebuah kilang papan.

SIBU, Mei 1: Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya merampas 1,565 batang kayu balak haram yang dipotong pendek menerusi satu serbuan di sebuah kilang papan di Tanjong Manis, Ahad lalu.

Jurucakap SFC dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, menerusi serbuan sama, pasukan penguatkuasa turut merampas 91 balak yang siap dipotong di dalam kilang sama.

Katanya, kesemua kayu balak tersebut dipercayai diperoleh secara haram sebelum dibawa ke kilang tersebut untuk diproses dan dijual selepas itu.


“Pasukan penguatkuasa SFC melakukan serbuan itu hasil daripada maklumat awam serta risikan yang dilakukan di kilang berkenaan,” kata jurucakap SFC di sini hari ini.

Tambah jurucakap sama, pihak SFC pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang dokumen sah berhubung pemilikan kayu itu ditemui di kilang berkenaan.

Katanya, pasukan penguatkuasa SFC turut merampas jentera serta peralatan yang dipercayai digunakan bagi menjalankan operasi haram itu.

“Satu laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Tanjung Manis bagi tindakan lanjut.

“Pihak Jabatan Hutan Sarawak turut dimaklumkan dengan rampasan itu untuk siasatan lanjut,” ujarnya. ā€” DayakDaily