Lelaki hilang di Kampung Ulak belum ditemui

Operasi SAR dilakukan di sekitar Sungai Limbang.

Oleh Dean Adam

LIMBANG: Mac 8: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Kampung Ulak di sini sejak Isnin lalu belum lagi dikesan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa, Jimahat Aman, 54, yang memasuki hari keempat masih diteruskan setakat ini.


Jelasnya, selain lapan anggota bomba, pasukan polis (10) APM (11), PBS Bakti (10) RELA (4) dan 20 penduduk kampung turut terlibat dalam operasi SAR itu.

Taklimat operasi SAR.

“Operasi SAR di Sungai Limbang telah dimulakan pada pukul 6.30 pagi dan radius pencarian sejauh lima kilometer ke hulu dan hilir Sungai Limbang.

“Teknik pencarian masih menggunakan ‘water surface searching’. Keadaan cuaca pada pagi ini hujan renyai dan arus sungai surut bergerak ke hilir Sungai Limbang,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, satu pasukan ditubuhkan untuk melakukan operasi SAR di darat, terdiri daripada bomba, orang awam dan APM seramai 10 orang.

“Maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. — DayakDaily