Pusat pemindahan mangsa banjir di Debak ditutup

Uggah melawat mangsa banjir di Dewan Perpaduan Debak.

Oleh Dean Adam

BETONG, Mac 8: Sebuah pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Dewan Perpaduan Debak ditutup sepenuhnya, semalam.

Pusat pemindahan yang menempatkan 430 orang mangsa banjir daripada 93 buah keluarga ditutup pada pukul 2 petang.


Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memberitahu penutupan pusat berkenaan dilakukan susulan keadaan banjir yang menjejaskan beberapa kawasan di Debak sudah pulih sepenuhnya.

“Kesemua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas keadaan banjir pulih.

“JPBNS ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua agensi yang telah bertungkus lumus dalam mengurus bencana banjir pada kali ini,” katanya di sini semalam.

Uggah (baju putih) menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah melawat ke pusat pemindahan tersebut bagi melihat sendiri mangsa banjir yang telah dipindahkan semalam.

Turut hadir pada lawatan tersebut adalah Friday Belik, Residen Bahagian Betong, Sofhi Jebal, Pegawai Daerah Betong dan Kol (PA) Mohtar Samat, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sarawak.

DayakDaily sebelum ini melaporkan seramai 430 mangsa banjir ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara di Dewan Perpaduan Debak.

Antara kawasan yang terjejas akibat banjir itu ialah Kampung Bungey, Kampung Babu Debak, Kampung Lalang dan Kampung Debak Laut di daerah Debak. — DayakDaily