Lelaki ditemui maut dalam kereta di Miri

Mayat lelaki dibawa menaiki kenderaan polis selesai sahaja pemeriksaan di lokasi pada pagi Ahad (6 Dis, 2020).

MIRI, 6 Dis: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kereta pada awal pagi ini berhadapan sebuah kedai makan di kawasan perindustrian E-Mart Tudan di sini.

Lelaki, berusia 19 tahun, itu ditemui rakan sekerjanya dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam jam 7 pagi tadi dalam keadaan separa mengiring di tempat duduk pemandu.

Difahamkan, lelaki berkenaan sudah habis waktu bekerja (shif malam) dan dijadualkan bertukar giliran kerja dengan rakannya pada pagi ini.


Kejadian disedari oleh rakannya, ketika cuba memanggilnya dari luar kenderaan tetapi tiada respon dari lelaki tersebut. Rakannya kemudian cuba bertindak membuka pintu akan tetapi gagal disebabkan pintu kenderaan tersebut terkunci dari dalam.

Mereka juga cuba menggoncang kenderaan tersebut dengan harapan boleh menyedarkan lelaki itu.

Rakan-rakan mangsa kemudian menghubungi pihak polis dan ambulan untuk tindakan lanjut.

Pemeriksaan awal terhadap mayat tidak menjumpai sebarang kecederaan mencurigakan.

Mayat kemudian telah dihantar ke Hospital Miri untuk pemeriksaan lanjut dan proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian tersebut.

“Semakan kamera litar tertutup (CCTV) di luar sebuah bangunan berhampiran mendapati si mati telah keluar seorang diri dari sebuah kedai bersebelahan bangunan tersebut pada jam 11.26 malam dan masuk ke dalam keretanya,” jelas Lim.

Beliau menambah, rakaman CCTV menunjukkan lelaki berkenaan tidak lagi keluar daripada keretanya dan tidak ada sesiapa yang datang ke arah keretanya sehingga dijumpai saksi pada awal pagi hari ini.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. — DayakDaily