Covid-19: 1,335 kes baharu dan 1,069 pulih

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 6 Dis: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,335 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,332 kes tempatan dan tiga kes import.


“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 72,694 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 11,039 kes,” dedah beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,069 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 61,273 kes atau 84.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 126 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 57 kes memerlukan bantuan pernafasan,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 382 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat dua kes kematian melibatkan warganegara dilaporkan pada hari.

“Satu kes kematian (masing-masing) dilaporkan di Perak dan Johor. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat tiga kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Ceram di daerah Seremban, Negeri Sembilan, Kluster Pulau Berhala di Sandakan, Sabah dan Kluster Jalan Tampoi di daerah Johor Bahru, Johor. — DayakDaily