Seorang lelaki ditemui mati dalam Toyota Hilux

Pasukan bomba berusaha membuka pintu kereta.

KUCHING, 6 Jan: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia di dalam sebuah pikap jenis Toyota Hilux, berdekatan Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak menerima panggilan memohon bantuan membuka pintu terkunci pada jam 3.30 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Sampai di tempat kejadian, didapati benar terdapat sebuah kenderaan Toyota Hilux terkunci dari dalam dan terdapat seorang lelaki tidak sedarkan diri di dalamnya.

“Pihak bomba terus menjalankan operasi membuka pintu kereta tersebut dan mangsa terus diperiksa oleh pihak perubatan hospital dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Mangsa dikenali sebagai Su Leh Ngiik berusia 60an.

Anggota Bomba kemudian bertolak balik ke balai setelah memastikan keadaan selamat di lokasi kejadian. — DayakDaily