Lelaki ditangkap disyaki terlibat perjudian di Kopit, Bau

Suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.

BAU, 11 Julai: Kegiatan perjudian seorang lelaki yang berselindung di sebalik perniagaan kedai runcit berjaya dibongkar dalam Ops Dadu Khas di Kampung Kopit, semalam.

Dipercayai suspek berusia 33 tahun itu terbabit menjual loteri haram dan judi dalam talian apabila pasukan serbuan menemui beberapa barang bukti, termasuk kertas-kertas tertulis angka-angka.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata suspek kemudian ditangkap untuk siasatan lanjut.


Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM 200,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun penjara.

Turut dirampas daripada suspek telefon bimbit dan wang tunai.

Siasatan lanjut polis masih dijalankan. — DayakDaily