Lelaki ditangkap, buka kaunter jual loteri haram di Bau

Anggota operasi melakukan pemeriksaan ke atas suspek.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


BAU, 7 Dis: Seorang lelaki ditangkap disyaki ejen loteri haram di sebuah rumah di Pekan Jambusan Lama, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata suspek, 39 tahun ditangkap anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bau yang membuat serbuan Ops Dadu sekitar jam 3.30 petang.

Katanya, pemeriksaan ke atas suspek telah menemui beberapa keping kertas tercatit angka-angka disyaki berkaitan loteri awam yang dijual secara haram.


Pasukan serbuan turut merampas telefon bimbit suspek untuk siasatan lanjut.

Suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Bau untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Jika disabitkan kesalahan, suspek yang berasal dari Kampung Pengkalan, Bau boleh didenda tidak kurang RM20,000 atau hukum penjara tidak lebih 5 tahun. — DayakDaily