Lelaki ditangkap bersama lebih 23 kilogram syabu bernilai RM955,500 di Kuching

Aidi (dua kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam operasi tersebut.

KOTA SAMARAHAN, 26 Mac: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak menangkap seorang lelaki disyaki pengedar dadah dan berjaya merampas 23,879 gram dadah jenis syabu bernilai RM955,500 pada Rabu (Mac 24).

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata suspek berusia 31 tahun berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu ditangkap di kawasan Stutong, Kuching sekitar jam 9 pagi.

Jelas beliau, suspek ditangkap selepas dilihat mencurigakan berdekatan sebuah hospital swasta.


“Suspek ditahan selepas dilihat mencurigakan kerana menyembunyikan sesuatu di kawasan semak berhampiran sebuah hospital swasta d tepi Jalan Stutong.

“Hasil pemeriksaan menemui satu bungkusan mengandungi 18 paket pelbagai saiz berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar 145 gram,” katanya pada  sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan, hari ini.

Menurutnya juga, dengan dipandu arah suspek, pasukan serbuan telah pergi ke kediaman suspek di sebuah apartment di Jalan Batu Kawa, Kuching.

“Hasil pemeriksaan menemui satu beg bagasi berwarna merah dan dalamnya mengandungi 21 bungkusan teh cina bertulis GUANYINWANG, yang setiap satu bungkusan dibaluti dengan ‘bubble wrap’ danpada pelekat coklat.

“Siasatan lanjut mendapati di dalamnya berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan berat kasar keseluruhan ialah 21,884 gram,” katanya.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut telah menjumpai satu kotak polisterin warna putih yang dalamnya mengandungi 14 plastik lutsinar pelbagai saiz yang berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu, kira-kira seberat 1,850 gram.

“Kesemua dadah yang dijumpai dianggarkan bernilai RM955,500 telah dirampas serta dijadikan barang kes, manakala suspek juga ditahan di bawah Seksyen 39B ADB 1952,” katanya.

Aidi memberitahu suspek yang berasal dari Jalan Tuaran Bypass Telipok, Sabah itu tiba di Kuching sekitar November tahun lepas dan pernah dikuarantin selama 14 hari di sebuah hotel di Kuching.

“Siasatan awal mendapati suspek ditawarkan menjadikan ‘runner’ kegiatan pengedaran dadah dan mula mengedar dadah sejak Disember 2020.

“Alasannya ialah dia perlukan duit untuk langsaikan hutang Along berjumlah RM10,000,” dedah Aidi.

Suspek yang juga disahkan positif dadah kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

“Siasatan maklumat risikan lanjut masih diteruskan bagi menyekat dan melumpuhkan aktiviti pengedaran.

“Kita juga akan menyalurkan maklumat kepada bahagian Risikan Antarabangsa JSJN Bukit Aman dan juga JSJN Kontinjen Sabah,” katanya.

Turut sama pada sidang media tersebut ialah Ketua JSJN Sarawak ACP Jasmirol Jamaludin. — DayakDaily