Lima ditahan kerana terlibat aktiviti pengedaran dadah berat 102 gram

PDRM logo

Brad Rantayy

MIRI, 19 Mei: Seorang wanita warga asing berusia 33 tahun antara lima ditahan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, pagi Khamis kerana disyaki terkibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

Empat lelaki warga tempatan yang ditahan bersama wanita tersebut berusia antara 30 hingga 52 tahun.


Dalam serbuan jam 11 pagi itu di kawasan perumahan yang terletak di Taman Shang, polis turut merampas tiga paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine anggaran berat 102.25 gram berjumlah RM10,225.

“Selain itu, polis turut menyita sejumlah wang tunai, dua buah kenderaan dan jumlah keseluruhan sitaan ialah RM88,637,” ujar Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu dalam satu kenyataan media tadi.

Jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan ialah RM98,862.

Kelima-lima saspek akan dibawa ke Kompleks Mahkamah Miri untuk permohonan reman.

Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan tidak kurang 15 kali sebatan. — DayakDaily