Lelaki ditangkap bawa dadah bernilai lebih RM10,000 dalam SJR di Kuching

Dadah yang dirampas daripada suspek dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Lapangan Terbang, Kuching.

KUCHING: Seorang lelaki warga tempatan ditangkap membawa dadah jenis Ecstacy dan Ketamin semasa melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Lapangan Terbang, di sini semalam (Sabtu).

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata suspek, berusia 27 tahun itu, ditahan untuk pemeriksaan dalam SJR tersebut yang diketuai Sjn Shahrudyman Mohamad Shazli sekitar jam 5.45 petang.

Katanya, suspek semasa ditahan memandu sebuah kereta dan hasil pemeriksaan menemui dadah jenis Ecstacy dan Ketamin dianggarkan bernilai RM10,600 di bawah kerusi pemandu.


Ekoran itu, suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Hasil saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan terus kepada polis.— DayakDaily