Lelaki ditahan polis selepas menampar isteri apabila dituduh curang

Suspek yang ditahan polis.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 28 April: Perbuatan seorang lelaki menampar isterinya membawa padah apabila dia ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian pada petang Selasa itu (27 April), mangsa berusia 52 tahun mengalami kecederaan pada muka setelah disyaki ditampar suaminya.


Kejadian berlaku di bahagian dapur rumah mangsa di Taman Bumiko sekitar jam 6.05 petang.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila si suami yang berusia 56 tahun telah menuduh isterinya berlaku curang di tempat kerja.

Susulan kejadian, satu laporan polis telaj dibuat mangsa.

Bertindak dari laporan tersebut, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri telah menahan suspek, dua jam selepas kejadian.

Suspek tidak mempunyai pekerjaan sejak tahun 2016 dan hanya isterinya bekerja menyara keluarga.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumahtangga 2005.