Polis Miri tahan suspek pecah masuk rumah, nilai barangan curi RM46,000

Suspek (berdiri lima dari kiri) ditahan anggota JSJ Miri.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 28 April: Seorang lelaki warga tempatan ditahan polis kurang dari 24 jam selepas polis menerima laporan mengenai jenayah pecah rumah di Jalan Cosmos 3, Pelita Commercial Centre di sini pada Isnin (26 April).

Suspek berusia 48 tahun itu yang mempunyai lapan rekod jenayah ditahan kira-kira jam 6.10 petang Selasa (27 April) di sebuah bilik hotel bajet di sini.


Turut ditemui bersama suspek semasa tangkapan dilakukan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri adalah beberapa keping mata wang asing, seutas jam tangan dan tiga unit telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, tangkapan dibuat susulan laporan pengadu yang berusia 46 tahun mengatakan rumahnya dipecah masuk.

Semasa kejadian berlaku, pemilik rumah yang bekerja sebagai sub kontraktor itu tidak berada di dalam kawasan rumahnya kerana keluar makan bersama kawannya sekitar jam 8.30 malam.

Namun, imej suspek yang kelihatan berlegar-legar di hadapan rumah mangsa berjaya dirakam CCTV jirannya.

Jumlah kerugian dilaporkan sekitar RM46,000.

Antara jenis mata wang asing yand disita semasa suspek ditahan.

Antara barangan yang dilaporkan hilang semasa kejadian seutas rantai beserta kalung jed bernilai RM8,000 dan sebuah jam tangan jenama Panerai (RM28,000) serta mata wang asing.

Antara mata wang asing yang dilarikan suspek semasa kejadian adalah dari negara Korea Selatan, Jepun, Singapura, Arab Saudi, Brunei dan China.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — DayakDaily