Lelaki ditahan berkaitan ugutan terhadap bapanya gara-gara ingin melangsaikan hutang dengan ‘Along’

Suspek (tengah) ditahan JSJ Miri untuk membantu siasatan selepas disyaki mengugut bapa kandungnya sendiri untuk membayar hutang 'Along'.

MIRI, 16 April: Gara-gara ingin melangsaikan hutang dengan ‘Along’ sebanyak RM50,000, seorang lelaki sanggup mengugut bunuh bapa kandungnya sendiri.

Susulan kejadian, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) telah menangkap suspek berusia 45 tahun itu di sebuah rumah di Jalan Bakam di sini pada Selasa lepas sekitar jam 8.15 pagi untuk membantu siasatan.

Difahamkan, suspek telah mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan terhadap bapanya sekiranya mangsa enggan membantunya melangsaikan hutang tersebut.


Bimbang akan keselamatan dirinya dan ahli keluarga yang lain, mangsa telah tampil membuat satu laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, ACP Hakemal Hawari mengesahkan tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. — DayakDaily