Remaja ‘autism’ diambil keterangan berhubung ugutan bunuh Timbalan Ketua Menteri

Pemilik akaun Facebook ‘Alexis Imang’ dilaporkan menulis komen ugutan bunuh terhadap Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak semalam.

KUCHING, 16 April: Seorang remaja lelaki dipercayai pemilik akaun Facebook ‘Alexis Imang’ ditahan untuk diambil keterangan di Kota Samarahan, atas syak menulis komen berunsur ugutan bunuh terhadap Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas semalam.

Komen yang berunsur ugutan bunuh itu disyaki ditulis oleh remaja tersebut ketika sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata suspek berusia di bawah 16 tahun dan merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang menghadapi autism.


Jelasnya, suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

Siasatan lanjut polis masih dijalankan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM). — DayakDaily