Lelaki ditahan atas mereka-reka cerita dirinya disamun

Arrest - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay
Oleh Brad Rantayy
MIRI, 21 Nov: Padah mereka-reka cerita disamun dan wang milik syarikat berjumlah RM11,000 disimpan di dalam kenderaan majikannya hilang, seorang penyelia tapak projek ditahan polis untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, pada semalam, lelaki berusia 37 tahun itu telah membuat laporan polis mengatakan kononnya cermin kereta syarikat yang dipandunya telah dipecah oleh orang yang tidak dikenali semasa diparkir bersebelahan sebuah premis makanan segera di Tanjong Lobang sekitar jam 2 petang.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah, lelaki berkenaan mengatakan cermin penumpang sebelah kiri hadapan telah dipecah dan wang tunai berjumlah RM11,000 dan sebuah laptop telah dilarikan.
“Pengadu membuat laporan polis kononnya wang tersebut dan sebuah laptop telah dilarikan individu tidak dikenali selepas memecah cermin kereta miliki syarikat jenis Toyota Land Cruiser,” ujar Lim.
Menurut pengadu, duit tersebut adalah untuk pembayaran pendahuluan kepada pihak Sesco bagi pemasangan meter baru di tapak projek.
“Bagaimanapun, hasil siasatan polis mendapati cerita yang kononnya dirinya disamun hanya rekaan semata mata kerana pengadu dipercayai telah menggunakan wang tersebut untuk membayar hutang judi atas taliannya berjumlah RM11,000,” kata Lim.
Pengadu telah mengakuĀ memecahkan cermin kereta tersebut sendiri.
“Dia tidak mahu menceritakan masalah kewangannya kepada pihak majikan kerana bimbang dibuang kerja memandangkan telah lama bekerja di syarikat berkenaan, iaitu sejak tahun 2010,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 182 Kanun Keseksaan. ā€” DayakDaily