Penduduk di Kampung Rasau, Engkilili terima bantuan kebakaran

Harden (berdiri enam dari kanan) bersama penerima bantuan kebakaran di Kampung Rasau, Engkilili.

KUCHING, 21 Nov: Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden menyampaikan bantuan kebakaran kepada penduduk di Rh Naga dan Rh Jackson Atit di Kampung Rasau, Engkilili semalam.

Bantuan daripada kerajaan negeri itu membabitkan jumlah RM144,200 yang dibayar kepada ketua isi rumah.

Sejumlah 18 pintu rumah terjejas akibat kebakaran yang berlaku pada 16 September, 2020 yang lepas.


Harden dalam ucapannya berkata, sejumlah RM3,050 telah dibelanjakan bagi bantuan awal ketika berlaku kebakaran.

“Manakala bantuan catuan makanan ketika mangsa berada di pusat pemindahan sementara selama dua minggu ialah RM30,100.

“Jumlah keseluruhan bantuan adalah sebanyak RM177,350,” katanya yang juga ADUN Simanggang.

Peserta program melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan industri ringan di Jalan Padri.

Tambah Harden, keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat tidak terhenti begitu sahaja, dan terdapat banyak insentif bantuan lain yang boleh dipohon.

Justeru, beliau menggesa penduduk yang terjejas agar bersatu dan saling bekerjasama agar permohonan untuk mendapatkan bantuan menjadi lebih mudah.

Terdahulu pada hari yang sama, Harden telah menghadiri program gotong-royong dan kempen kebersihan yang diadakan di kawasan industri ringan di Jalan Padri, Sri Aman.

Program disertai 100 peserta yang membabitkan petugas Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) dan pemilik kedai di sekitar lokasi. — DayakDaily