Lelaki ditahan atas kecurigaan mencuri motorsikal di Pujut 6

Motorsikal jenis Yamaha 135LC yang dilaporkan dicuri pada awal pagi Jumaat itu berjaya ditemui.

MIRI, 24 Okt: Walaupun baru sahaja seminggu dibebaskan dari lokap polis, seorang lelaki warga tempatan ternyata tidak serik apabila ditahan pihak polis pada petang Jumaat atas kecurigaan mencuri sebuah motorsikal.

Suspek, berusia 31 tahun, itu ditahan kurang dari sembilan jam selepas motorsikal tersebut dilaporkan hilang dari lokasi yang diparkir di bawah sebuah bangunan kedai di Pujut 6 oleh pemiliknya.

Kehilangan tersebut disedari sekitar jam 5.30 pagi semalam sewaktu pengadu hendak turun ke tempat kerjanya.

Semakan rekod jenayah, mendapati suspek tersebut mempunyai lapan rekod jenayah lampau termasuk kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah.

Suspek telah ditahan sepasukan anggota polis Miri dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di kawasan kaki lima depan sebuah kedai serbaneka 24-jam di Piasau, Jalan Palma Edar sekitar jam 5.15 petang  pada hari yang sama.

Turut dirampas ialah sebuah motorsikal jenis Yamaha 135LC yang dilaporkaj telah dicuri dalam kejadian awal pagi itu.

Menurut siasatan awal polis mendapati motorsikal itu baru sahaja lima bulan dibeli mangsa sebelum dilaporkan hilang.

Nilai kerugian dianggarkan sebanyak RM10,000.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah mengesahkan tangkapan ketika dihubungi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A  Kanun Keseksaan, iaitu jenayah mencuri kenderaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun ,jika sabit kesalahan. —DayakDaily.