Lelaki disyaki mencuri komponen penghawa dingin ditahan di Miri

Suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan.

MIRI, 22 Nov: Seorang lelaki warga tempat dipercayai aktif mencuri komponen penghawa dingin di sekitar Pusat Komersial Boulevard di Jalan Miri-Pujut ditahan polis awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah mengesahkan suspek berusia 20 tahun dari Kampung Pujut Padang Kerbau itu ditangkap oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri diketuai ASP Unang Giang sekitar jam 5.15 pagi.

Ketika ditahan, suspek sedang membuka komponen penghawa dingin dari sebuah premis di Pusat Komersial Boulevard.


Turut dirampas ialah beberapa peralatan pecah masuk seperti gunting, spana kecil, dua pemutar skrew, satu pisau lipat kecil dan satu unit lampu suluh kecil untuk kegunaan jenayah mencuri.

Satu tangga besi turut ditemui di lokasi.

Polis turut menemui satu unit tangga besi panjang dan beberapa gulung wayar.

Siasatan awal mendapati suspek juga pernah memecah masuk salah satu premis berhampiran dan melarikan komponen penghawa dingin pada awal bulan ini.

Suspek yang juga mempunyai rekod jenayah lampau mencuri kini ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. — DayakDaily