Lelaki disyaki lontar batang besi ke arah kereta bekas isteri ditahan polis

Suspek (dua dari kiri) ditahan JSJ IPD Miri pada hari yang sama sebaik sahaja menerima laporan mangsa.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 24 Dis: Seorang lelaki warga tempatan yang mengamuk dan memecahkan pintu belakang kereta bekas isterinya menggunakan sebatang besi pada Khamis ditahan polis pada hari yang sama.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, suspek berusia 40 tahun itu ditahan kurang dari lima jam selepas pihaknya menerima laporan kejadian daripada mangsa.


Menurutnya, mangsa mendakwa kejadian berlaku sebaik sahaja dia selesai mengisi minyak di sebuah stesen di Simpang Ngu Batu Niah sekitar jam 4.30 petang.

Tanpa disedari, keretanya telah diekori bekas suaminya itu sebelum secara tiba-tiba, suspek bertindak menghalang laluan kereta mangsa.

Sebaik sahaja mangsa memberhentikan kenderaanya, suspek telah keluar dari kereta pacuan empat roda yang dipandu sambil membawa sebatang besi, sebelum bertindak melontarkan besi tersebut ke arah pintu belakang sebelah kiri milik mangsa.

Susulan kejadian, mangsa telah membuat satu laporan polis berhubung kejadian.

Suspek telah ditahan sekitar jam 9.20 malam pada hari yang sama di Jalan Kampung Madinah ,Niah, oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri untuk siasatan lanjut.

Turut dirampas sebatang besi dipercayai telah digunakan dalam kejadian. — DayakDaily