Lelaki cuba suap pihak berkuasa diberkas

Gas cecair petroleum yang disimpan di premis berkenaan
Advertisement

Oleh Dean Adam

SERIAN, Julai 17: Seorang lelaki menerima padah apabila ditangkap selepas cuba memberi suapan kepada penjawat awam ketika melaksanakan tugas, di sini, semalam.

Kejadian berlaku apabila operasi yang dijalankan sepasukan tujuh pegawai dan anggota dari Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) membuat pemeriksaan dan serbuan ke atas sebuah premis di kawasan Tebedu, yang dipercayai dijadikan sebagai tempat penyimpanan dan penjualan gas cecair petroleum.

Advertisement

Operasi pada pukul 12.45 tengah hari itu, atas risikan dan maklumat yang diperolehi, dijalankan dengan kerjasama tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan lapan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 11, Supt Rosdi Inai, berkata hasil pemeriksaan ke atas premis berkenaan telah menjumpai sejumlah gas cecair petroleum yang disimpan dan dipercayai tiada kelulusan dari pihak KPDNHEP.

Katanya, turut berada di dalam premis tersebut semasa pemeriksaan adalah seorang lelaki tempatan berbangsa Cina dipercayai pemilik premis.

Pihak berkuasa memeriksa tong gas memasak yang dirampas.

“Pemilik telah gagal mengemukakan dokumen yang sah berhubung penyimpanan barang kawalan tersebut dan gagal menyelenggara buku stock penjualan gas
cecair petroleum berkenaaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Rosdi menambah, pihaknya kemudian menahan lelaki berusia 31 tahun berkenaan kerana cubaan memberi suapan kepada penjawat awam sebanyak RM4,000 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan di atas kesalahan tersebut.

Katanya, hasil maklumat yang diperolehi, barangan itu dipercayai akan diseludup atau dijual ke negara jiran melalui jalan darat dan akan dipasarkan di sekitar Kalimatan.

“Kes telah diserah kepada KPDNHEP dan SPRM untuk siasatan lanjut mengikut
Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. ā€” DayakDaily

Advertisement