Lelaki bunuh wanita direman tujuh hari, proses reman dibuat di hospital

Proses reman ke atas suspek dibuat di Hospital Sibu.

SIBU, Ogos 8: Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang wanita di sebuah bilik sewa di Jalan Tiong Hua pada Ogos 2 lepas direman selama tujuh hari bermula esok untuk membantu siasatan lanjut.

Perintah reman bermula Ogos 9 hingga 15 depan itu diluluskan oleh Majistret Saiful Sayoti di Hospital Sibu di sini hari ini.

Permohonan reman terhadap suspek iaitu Philip Uja telah dibuat pegawai penyiasat kes, ASP Sylvarius Gopog.


Suspek yang berusia 42 tahun itu diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) iaitu Chieng Lee Seng.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, proses permohonan reman itu terpaksa dibuat di Hospital Sibu kerana suspek masih menjalani rawatan lanjut.

Katanya, ia adalah kerana semasa diberkas semalam suspek telah meminum racun dipercayai untuk membunuh diri.

“Namun, dia (suspek) telah memuntahkan racun itu sebelum dikejarkan ke Hospital Sibu oleh anggota polis.

“Keadaan suspek ketika ini dilaporkan berunsur pulih,” katanya hari ini.

DayakDaily semalam melaporkan cubaan seorang lelaki membunuh diri dengan meminum racun selepas menyedari dirinya diburu polis setelah dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan seorang wanita di sebuah bilik sewa di Jalan Tiong Hua pada Ogos 2 lepas tidak berhasil apabila dia diberkas.

Suspek ditangkap oleh anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Julau kira-kira pukul 10.40 pagi di sebuah rumah panjang di Rumah Panjang Hong Sing Sing, Nanga Bilat, Julau dekat sini.

Lelaki tersebut berjaya dikesan dan diberkas hasil maklumat yang diterima daripada penduduk rumah panjang berkenaan.

Semasa tangkapan itu, suspek telah bertindak meminum racun di dalam sebuah tandas di rumah panjang tersebut.

Adalah percayai suspek cuba untuk membunuh diri selepas menyedari kehadiran pasukan polis.

Namun, dia telah memuntahkan racun berkenaan sebelum polis membawanya ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — DayakDaily