Lelaki temui ajal semasa bersenam

Petugas perubatan memeriksa keadaan mangsa yang rebah semasa bersenam.

SRI AMAN, Ogos 8: Seorang lelaki yang sedang melakukan senaman menemui ajal apabila dia tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri dalam satu kejadian di Jalan Skait, Lingga dekat sini lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa yang berumur 51 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan yang tiba di lokasi selepas dimaklumkan mengenai insiden berkenaan.

Menurut sumber, sebelum kejadian itu, mangsa dikatakan sedang berlari dan melakukan senaman seorang diri.


Bagaimanapun kata sumber, mangsa dikatakan tiba-tiba rebah lalu tidak sedarkan diri sebelum orang awam yang menyedari kejadian itu menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Petugas perubatan yang melakukan pemeriksaan ke atas mangsa kemudian mengesahkan kematian lelaki berkenaan.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung,” katanya hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Othman Sulaiman mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

Katanya, semakan rekod perubatan mendapati mangsa menghidap penyakit darah tinggi dan selalu melakukan pemeriksaan lanjut.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut,” ujarnya lagi. — DayakDaily