Lelaki berusia 36 thn ditangkap jual loteri haram di Kampung Peninjau Lama

Suspek (tengah) ditangkap oleh dua anggota polis untuk siasatan lanjut.

BAU,26 SEPTEMBER: Seorang lelaki ditangkap kerana disyaki menjual loteri haram di tempat letak kereta di Kampung Peninjau Lama, Siniawan semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata operasi dilakukan oleh anggotanya dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bau pada jam 6.30 petang.

Katanya, suspek berusia 36 tahun yang juga berasal dari Kampung Peninjau Lama itu ditahan untuk pemeriksaan selepas dilihat mencurigakan.


Hasil pemeriksaan menemui kertas tercatit angka dipercayai nombor loteri awam yang dijual secara haram.

Ekoran itu, suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

Turut dirampas daripada suspek ialah sejumlah wang tunai dan telefon bimbit.

Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. — DayakDaily