Lelaki berang ditegur adiknya ditahan polis Miri

Suspek pukul adik kandung ditahan. Turut dirampas sebuah kerusi plastik berwarna merah dipercayai digunakan dalam kejadian.

Oleh Jaythaleela K

MIRI, 1 Feb: Gara-gara berang selepas ditegur adik perempuannya supaya mengubah gaya hidupnya dengan tidak mengambil minuman beralkohol secara melampau, seorang lelaki dipercayai bertindak memukul mangsa berkali-kali menggunakan kerusi plastik pada malam tadi.

Kejadian dilaporkan telah berlaku di sebuah rumah di Jalan Delima, fasa 4 di sini.


Susulan kejadian, lelaki berusia 28 tahun itu telah ditahan pihak polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari mengesahkan tangkapan yang dilakukan sekitar jam 8.30 malam Ahad.

Turut dirampas ialah sebuah kerusi plastik berwarna merah dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Satu laporan polis juga telah dibuat mangsa. Difahamkan, suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk kesalahan penggunaan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa. — DayakDaily