Lempar tong sampah dan ugut jiran guna parang, lelaki ditahan polis

Suspek (dua dari kanan) ditahan polis tengahari tadi (22 Ogos, 2021).

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 22 Ogos: Perbuatan seorang lelaki melemparkan sebuah tong sampah ke arah rumah jiran awal pagi tadi membawa padah apabila dia ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 12.45 pagi itu di Lutong, suspek berusia 44 tahun dipercayai telah melemparkan sebuah tong sampah dan merosakkan cermin kereta belakang jiran hadapan rumahnya.


Turut dilaporkan telah rosak, lampur pagar pengadu.

Susulan kejadian, satu laporan polis telah dibuat pengadu.

Difahamkan, sebelum kejadian pengadu, seorang suri rumah berusia 24 tahun, telah ternampak kelibat suspek berjalan ke arah pagar rumahnya sebelum menjerit memanggil dia dan suaminya keluar.

Suspek turut disyaki membawa sebilah parang.

Namun, kerana bimbang keselamatan diri dan keluarganya terancam, pengadu bersama suami dan ahli keluarganya yang lain tidak keluar dan hanya melihat dari dalam rumah.

Punca kejadian masih dalam siasatan.

Menurut ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, tangkapan dilakukan sekitar jam 1.25 petang Ahad.

Turut dirampas semasa tangkapan adalah sebilah parang berukuran 43cm.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. — DayakDaily