Lebuh Raya Trans Borneo hubungkan Sabah, Sarawak dan Kalimantan Timur dalam perancangan

Baru (tengah) merakamkan kenangan bersama pemenang-pemenang Anugerah Media Pembinaan CIDB 2019 di Kuching.

KUCHING, 16 Nov: Kerajaan pusat akan membina Lebuh Raya Trans Borneo sepanjang 165km yang menghubungkan Sarawak dan Sabah ke Kalimantan Timur, Indonesia.

Menurut Menteri Kerja Raya Baru Bian, pembinaan jalan tersebut mengambil kira keputusan kerajaan Indonesia yang akan memindah ibu kota mereka ke Kalimantan.

“Antara fasa komponen penting projek ini adalah pakej bernilai RM600 juta untuk 40km Jalan Kalabakan-Serudong di Tawau.

“Ia termasuk pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) dan kuarters perumahan kerajaan,” katanya di malam Penghargaan Media Kementerian Kerja Raya dan Anugerah Media Pembinaan CIDB 2019 di sini, malam tadi.

Di samping itu, beliau juga berkata kerajaan komited untuk menyiapkan projek Lebuh Raya Pan Borneo.


Katanya pembangunan infrastruktur seperti jalanraya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak dan Sabah.

“Proses rasionalisasi kos projek berkenaan setakat ini menghasilkan penjimatan sebanyak RM1.2 bilion dengan mengurangkan kos projek kepada RM29 bilion.

“Menerusi penjimatan tersebut, bajet dapat disalurkan kepada projek – projek lain bagi memacu pertumbuhan ekonomi di Sarawak dan Sabah seperti pembinaan Lebuh Raya Trans Borneo,” ujar beliau lagi.

Pengajuran malam media semalam merupakan siri pertama bagi program yang sama yang bakal menyusul di Sabah dan Kuala Lumpur selepas ini.

Acara tahunan ini dianjurkan untuk menghargai jasa baik pengamal media dalam memberikan liputan, publisiti, hebahan dan promosi kepada kementerian dan juga agensi-agensi di bawah kementerian. — DayakDaily