Lebih 30 tahun, Burhanudin tetap setia sebagai penjual ikan di Pasar Rakyat Beluru

Burhanudin memisahkan isi ikan belida daripada tulang untuk dijadikan bebola ikan.

Oleh Chris Bishop

BELURU, 18 Mac: Setelah lebih 30 tahun, Burhanudin tetap setia mencari rezeki sebagai penjual ikan di Pasar Rakyat Beluru.

Ditemui DayakDaily hari ini, beliau berkata, sumber ikan yang dijual diperolehi daripada nelayan-nelayan Sungai Bakong.


“Saya satu-satunya penjual ikan paling lama di pasar ini, yang lain tidak bertahan lama.

“Bagi saya bukan keuntungan besar yang dicari, asalkan ada gaji cukuplah,” katanya yang berasal dari Kampung Beluru.

Burhanudin yang berusia pertengahan 50-an turut menjual bebola ikan belida yang dibuat beliau sendiri.

Selain itu, beliau juga menjual ikan baong, haruan, keli dan talapia.

Sementara itu, tinjauan mendapati beberapa gerai di Pasar Rakyat Beluru menjual siput sungai atau tekuyong.

Seorang penjual, Alice dari Ulu Bakong berkata, terdapat banyak tekuyong di Ulu Sungai Bakong.

Katanya, tekuyong yang berada di mendapan pasir di tebing sungai hanya diambil menggunakan tangan sahaja.

Tekuyong yang dijual dengan harga RM5 di Pasar Rakyat Beluru.

“Saya dan rakan-rakan mengambil masa setengah hari mengambil tekuyong ini, adalah hasil sebanyak 2 kilogram seorang.

“Ia sentiasa ada, sangat banyak di Ulu Sungai Bakong.

“Boleh digoreng kicap atau direbus, tekuyong ini sedap,” kata Alice. — DayakDaily