Laluan Utama Kedua Kota Samarahan-Kuching bakal atasi masalah kesesakan lalulintas

Ketua Wanita PBB, Datuk Seri Fatimah Abdullah (kanan) menyerahkan buku bertajuk 'Wing Of Change' kepada Abang Johari semasa Konvensyen Khas PBB Zon Selatan di BCCK.

KUCHING, 25 Okt: Pembinaan Laluan Utama Kedua menghubungkan Kota Samarahan dengan Kuching dijangka akan dapat mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di jalan utama menghubungkan kedua lokasi tersebut.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan laluan tersebut merupakan antara inisiatif kerajaan negeri dalam menyediakan jaringan infrastruktur lebih kondusif kepada rakyatnya yang meliputi laluan Lebuh raya Pan Borneo dan Jalan Pesisir.

“Kita naik taraf dengan buat lampu isyarat pintar di lima bulatan di Samarahan, selepas itu kita bina jalan baharu lagi apa yang disebut ‘Semarahan Expressway’ menuju ke Tanjung Bako, kita buat lagi jambatan menyeberang ke Sejingkat dekat Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan jalan itu terus ke Jalan Sultan Tengah di Santubong,” katanya.


Katanya, pembinaan laluan tersebut yang telahpun bermula dijangka akan dapat disiapkan sepenuh dalam tempoh lima tahun akan datang seiring dengan pembinaan Lebuh raya Pan Borneo dan Jalan pesisir.

Kesemua laluan ini, tegas beliau, akan menjadikan sistem perhubungan di Sarawak lebih mampan dengan semua kawasan dapat dihubungkan dengan lebih efektif.

“Jika kawasan rakan kita di tengah dan di utara kita buatkan jalan penghubung, di selatan negeri ini juga kita juga akan buat.

“Ini akan menghubungkan kampung-kampung kita dan membuka kawasa-kawasan baharu,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Abang Johari yang juga presiden PBB berkata, semua perancangan itu tidak akan menjadi kenyataan jika Sarawak tidak mempunyai pemimpin yang sentiasa mementingkan hak Sarawak dalam gagasan Malaysia berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)

Katanya, pelaksanaan Cukai Jualan Negeri (SST) terhadap produk berasaskan petroliam memberikan Sarawak pendapatan tambahan sehingga mencecah RM4 bilion setahun.

“Dengan hasil daripada SST yang kita kenakan terhadap syarikat minyak seperti Petronas (Petroliam Nasional Berhad), Shell, dan sebagainya boleh digunakan untuk tujuan pembangunan yang memberikan manfaat kepada rakyat di Sarawak,” katanya. — DayakDaily