Taiyo Yuden Sarawak tambah pelaburan sebanyak RM5 bilion di Samajaya

Abang Johari hadir merasmikan Konvensyen Khas PBB Zon Selatan di BCCK.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 25 Okt: Syarikat Jepun, Taiyo Yuden (Sarawak) Sdn Bhd akan menambah pelaburannya di kawasan perindustrian Samajaya sebanyak RM5 bilion.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kepada beliau.


“Syarikat Taiyo Tuden kini memberitahu bahawa mereka ingin menambah pelaburan di Samajaya sebanyak RM5 bilion.

“Selain itu kita juga mendapat pelaburan dari negara China dan Korea,” katanya pada majlis Perasmian Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Tambah Abang Johari yang juga presiden PBB, keyakinan pelabur itu adalah berdasarkan kepada keadaan Sarawak yang aman dan stabil.

Justeru, ujar beliau lagi, adalah penting bagi seluruh rakyat Sarawak untuk mengekalkan kestabilan yang dinikmati kini.

“Pelaburan dari luar datang sebab negeri kita aman dan stabil.

“Oleh kerana itu, kita mesti menjaga kestabilan ini. Biar Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi ‘platform’ dan didukung oleh PBB supaya Sarawak terus stabil,” katanya. — DayakDaily