Kuching FA tagih magis penggempur ‘Samba’, Bryan Jones

Bryan Jones

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, April 7: Penolong Pengurus Kuching FA, Iswandy Ali Hassan mengharapkan magis penggempur ‘Samba’ baru, Bryan Jones untuk menamatkan kemarau kemenangan pasukan itu dalam kempen Liga Premier 2020.

Bryan, 30, secara rasmi menjadi pemain Kuching FA bagi menggantikan Leonardo Passos Alves yang terpaksa digugurkan ekoran masalah kecederaan serius pada lulut kaki kanannya pada awal musim.

Meskipun sentuhan sebenar penyerang kelahiran Brazil itu belum diuji sepenuhnya kerana saingan liga masih terhenti ekoran Perintah Kawalan Pergerakan, Iswandy percaya bakat serta pengalaman luas pemain itu dapat membantu mengubah nasib pasukan itu selepas ini.

“Beliau (Bryan) adalah penyerang baharu kita bagi menggantikan Leonardo Passos Alves yang terpaksa diketepikan ekoran kecederaan serius pada lulut kaki kanannya.

“Sudah tentu kita mengharapkan beliau dapat memberi impak seperti mana diharapkan oleh pihak pengurusan sebaik saingan liga bersambung kelak,” ujar Iswandy ketika mengulas mengenai perkara itu hari ini.

Iswandy yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA) juga berharap pandemik Covid-19 akan berakhir tidak lama lagi bagi membolehkan saingan liga bersambung semula.

Kuching FA hanya mengumpul satu mata selepas mengharungi empat perlawanan setakat ini untuk menduduki tangga ke-11 Liga Premier. — DayakDaily