Kuching FA tegas pastikan pemain patuhi Perintah Kawalan Pergerakan

Skuad Kuching FA

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, Mar 25: Persatuan sukan tidak ketinggalan memainkan peranan dalam membendung penularan wabak Covid-19 dengan memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi.

Bagi pengurusan pasukan bola sepak Kuching FA, mereka ada pendekatan sendiri yang ketat dalam memastikan pemain sentiasa patuh dengan penguatkuasaan kawalan itu.


Menurut Penolong Pengurus Kuching FA, Iswandi Ali Hassan, sepanjang tempoh PKP, pemain hanya menjalani latihan di kediaman masing-masing berpandukan modul yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, tegasnya jika ada pemain yang melanggari peraturan sepanjang penguatkuasaan PKP, mereka bakal berdepan tindakan dari pihak pengurusan.

“Jika ada pemain yang keluar pada waktu malam dan melanggar peraturan yang telah ditetapkan, mereka akan dipotong gaji dengan jumlah minima sebanyak RM200.

“Bagi yang masih tidak patuh dengan arahan, kita tidak menolak kemungkinan untuk mengenakan tindakan disiplin termasuk pengguguran dari skuad,” kata Iswandi ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, denda sama juga dikenakan kepada mana-mana pemain yang naik berat badan sebanyak 3 kilogram sepanjang tempoh PKP.

“Kerana itu, kita telah menyediakan sistem latihan kendiri di kediaman masing-masing bagi memastikan para pemain sentiasa cergas,” katanya lagi.

Mengenai status penyerang dari Brazil, Leonardo Passos Alves, Iswandi mendedahkan mereka telah menemui pemain yang bakal menggantikan pemain itu.

Dedah Iswandi, pemain berkenaan Bryan Jones (30 tahun) juga kelahiran Brazil boleh beraksi sebaik saingan Liga Premier bersambung kelak.

Alves terpaksa digugurkan kerana mengalami kecederaan serius di lutut kanan semasa menjalani latihan pra musim. —DayakDaily