Pelajar UiTM Sarawak dicabar mencapai sekurang-kurangnya CGPA 3.5

Jamil menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar sambil disaksikan oleh Rashidah (kiri), Saudi (empat kiri), Wan Akil (tiga kanan) dan para jemputan lain.

KUCHING, Mei 15: Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak, Profesor Dato Dr Jamil Hamali mencabar pelajar universiti itu untuk mencapai sekurang-kurangnya purata CGPA 3.5 ke atas.

Beliau berkata pencapaian itu amat penting kerana ia dapat membuka peluang kepada graduan sama ada untuk melanjutkan pengajian atau bekerja.

“Pencapaian yang baik ini akan menjanjikan banyak peluang untuk mendapat tempat belajar di universiti awam khususnya UiTM dan peluang untuk mendapat pekerjaan juga lebih cerah,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Malam Pra-Graduan UiTM Kampus Mukah, semalam.

Turut hadir Timbalan Rektor UiTM, Prof Madya Wan Akil Abdullah, Profesor Madya Dr Rashidah Mahdi dan Penolong Rektor UiTM Kampus Samarahan, Dr Saudi Narani.

Dalam pada itu, Jamil turut mengingatkan pelajar dan staf UiTM Sarawak agar sentiasa positif dengan perkembangan pengurusan terkini universiti berkenaan.

Malah, beliau turut menasihati pelajar agar sentiasa patuh dengan segala arahan dan menjaga nama baik universiti.

Sementara itu, Saudi berkata UiTM Sarawak telah melakukan banyak pencapaian membanggakan sama ada melibatkan staf, pensyarah dan pelajar dalam aktiviti kokurikulum termasuk penyertaan dalam persidangan antarabangsa serta dalam pertandingan inovasi termasuk penerbitan jurnal.

Majlis Malan Pra-Graduan UiTM Kampus Mukah adalah malam yang bersejarah kerana menyaksikan kumpulan pelajar pertama yang akan menamatkan pengajian di kampus baru itu.

Seramai 81 orang pelajar jurusan Diploma Perniagaan, Diploma Perbankan dan Diploma Pengurusan Ladang dijangka menamatkan pengajian mereka pada Jun ini. — DayakDaily