Krew kapal tongkang bawa kayu balak hilang selepas dipercayai dibadai ombak

SAR diaktifkan bagi mencari seorang kru kapal tongkang yang dilaporkan hilang setelah jatuh dari kapal tongkang.

MIRI, 13 Okt: Seorang kru kapal tongkang membawa muatan kayu balak dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke perairan Kuala Baram Miri, malam tadi (12 Okt).

Mangsa, Zainorin Brahim, 35, dikatakan terjatuh kira-kira jam 9 malam sebelum satu laporan polis dibuat hari ini dan pasukan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (Bomba) dimaklumkan berhubung kejadian.

Menurut Pemangku Penguasa Bomba Zon 6 Miri, Ahmad Nizam Sapaiee, pihaknya telah dimaklumkan mengenai kejadian sekitar jam 12.05 tengahari dan seramai tiga anggota dari Balai Bomba Lopeng telah dihantar ke muara Sungai Kuala Baram Miri.


“Menurut pemandu tongkang, ketika kejadian kapal tongkang tersebut bergerak dari Bintulu menuju ke Miri membawa muatan kayu, namun telah dipukul ombak ketika melalui muara sungai Kuala Baram,” Ahmad Nizam berkata.

Katanya, pemandu kapal tunda, yang menarik tongkang tersebut menyuruh mangsa dan rakan mangsa untuk pergi ke bahagian hadapan tongkang kerana ombak terlalu besar.

“Ketika mangsa dan rakan mangsa pergi ke hadapan kapal, mangsa dikatakan berpatah balik ke bahagian belakang tongkang dan disyaki jatuh ketika berada di belakang tongkang tersebut,” katanya.

Lokasi terakhir mangsa mengikut ‘last marking’ juragan bot adalah pada 3.2 batu nautika, jelas Ahmad Nizam.

Usaha mencari dan menyelamat (SAR) segera dilaku, namun sehingga kini, mangsa masih belum ditemui. — DayakDaily