KPDNKK lancar operasi besar-besaran untuk penguatkuasaan kadar sifar peratus GST

Md Nawawi Abdul Rahman

KUCHING, Mei 31: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak akan menjalankan operasi besar-besaran ke atas pasar raya termasuk perusahaan dan perkhidmatan lain di seluruh negeri bagi menguatkuasakan kadar sifar peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula Jun 1 ini.

Timbalan Pengarah PPDNKK Sarawak, Md Nawawi Abdul Rahman berkata operasi tersebut adalah untuk memastikan para peniaga serta penyedia perkhidmatan yang berkaitan tidak mengekalkan harga atau caj mengikut kadar yang telah dikenakan GST sebelum ini.

“Kami akan memantau sepenuhnya peniaga dan penyedia perkhidmatan yang mengenakan GST sebelum ini agar mereka tidak mengambil kesempatan ke atas (kadar sifar peratus) GST oleh kerajaan,” katanya ketika dihubungi.


Md Nawawi turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan peniaga yang didapati melakukan kesalahan tersebut.

Katanya, tindakan boleh diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 termasuk Akta Perihal Dagangan.

“Saya menasihatkan semua peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak mengeksploitasi harga barang dan perkhidmatan demi kepentingan semua pihak,” katanya.

Jika didapati peniaga yang tidak mematuhi peraturan berkenaan, pengguna juga boleh menyalurkan aduan kepada KPDNKK melalui talian bebas tol 1-800-886-800 atau emel ke e-aduan@kpdnkk.gov.my. — DayakDaily