Anggota MALBATT 850-5 dari Sabah dan Sarawak sambut Hari Gawai Dayak dan Ka’amatan di Lubnan

Anggota MALBATT 850-5 dari Sabah dan Sarawak yang bertugas di Lubnan.

LUBNAN, Mei 31: Meskipun berada di perantauan atas tugasan di luar negara, anggota tentera yang bakal meraikan perayaan Hari Ka’amatan dan Gawai Dayak tetap diraikan.

Seramai 54 orang Batalion Malaysia (MALBATT) 850-5 dari Sabah dan Sarawak yang menyambut kedua-dua perayaan itu telah diraikan oleh Komander MALBATT, Kolonel Khairul Anuar Ab Aziz serta pegawai lain di UNP 2-1, Kem Ma’rakah, Selatan Lubnan, semalam.

Anggota MALBATT 850-5 dari Sabah dan Sarawak yang bertugas di Lubnan.

Dalam ucapan ringkasnya, Khairul memberitahu, ia menjadi satu kebanggaan buat petugas tentera yang beraya di perantauan sebagai seorang pengaman Malaysia di bawah misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, meskipun berjauhan dengan keluarga, namun petugas MALBATT tidak keseorangan dalam meraikan sambutan Hari Ka’amatan dan Gawai Dayak.

“Mereka juga turut diberi cuti dua hari bagi meraikan perayaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini. — DayakDaily