KPDNHEP teruskan PJKM bantu rakyat Sarawak kurangkan kos sara hidup

Stanley (dua dari kiri) ketika melakukan tinjauan PJKM di Mydin Bandar Baru Semariang.

KUCHING, 5 Feb: Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Sarawak merekodkan jumlah jualan mencecah RM832,934.54 dengan 53,415 orang pengunjung.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak Dato Stanley Tan berkata, terkini PJKM telah dilaksanakan di lebih dari 46 lokasi meliputi semua kawasan parlimen di seluruh negeri.

“PJKM diperluaskan sehingga meliputi semua kawasan parlimen agar lebih ramai rakyat turut sama menikmati barang-barang yang ditawarkan dengan harga sehingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran setempat.


“Sejauh ini sambutan pengguna dan peniaga di Sarawak amat menggalakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada hari ini, Stanley telah mengadakan tinjauan PJKM di Mydin Bandar Baru Semariang di mana program yang sama turut diadakan secara serentak di parlimen Serian, Kota Samarahan dan Sibuti.

Dari maklumbalas yang diterima tambah Stanley, rata-rata menyambut baik dan meminta program ini dilaksanakan secara berkala.

“Pengunjung mengakui bahawa harga barang-barang yang dijual dapat meringankan bebanan kos sara hidup rakyat dalam situasi sekarang ini,” katanya.

Setakat ini, PJKM telah meliputi Kuching, Sri Aman, Saratok, Sibu, Mukah, Belaga, Bintulu, Miri, Limbang, Kabong, Kapit, Santubong, Samarahan, Serian, Sibuti dan Lawas.

Program menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga berpatutan yang lebih murah antaranya ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras, dan barangan keperluan rumah terpilih.

KPDNHEP menggalakkan rakyat negeri Sarawak untuk merebut peluang ini dalam merancang pembelian keperluan rumah dan seterusnya berjimat dari tawaran yang diberikan melalui PJKM di lokasi yang berdekatan dengan mereka. — DayakDaily