285 lampu solar akan dipasang sepanjang Jalan Bau-Batu Kitang

Abang Johari dalam satu foto berkumpulan bersama (berdiri dari kiri) Henry, Lo dan Miro ketika kunjungan hormat pada 31 Jan 2022.

KUCHING, 5 Feb: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meluluskan projek pemasangan 285 unit lampu jalan solar sepanjang Jalan Bau-Batu Kitang baru-baru ini.

Keputusan ini telah dibuat semasa kunjungan hormat Menteri Muda Pengangkutan II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Dato Henry Harry Jinep bersama-sama ADUN Batu Kitang Lo Khere Chiang dan ADUN Serembu Miro Simuh ke atas Abang Johari pada 31 Jan 2022.

Henry berkata cadangan projek bagi kerja-kerja penambahbaikan Jalan Bau-Batu Kitang telah dikemukakan oleh ketiga-tiga ADUN tersebut sebelum diluluskan oleh Abang Johari.


“Projek ini akan melibatkan kerja-kerja penambahbaikan jalan serta pemasangan 285 unit lampu solar sepanjang Jalan Bau-Batu Kitang terutamanya di kawasan yang tiada lampu jalan dan di laluan memotong di kedua-dua belah jalan.

“Pemasangan 285 unit lampu solar ini adalah penting memandangkan keadaan sepanjang Jalan Bau-Batu Kitang tersebut kurang memuaskan terutamanya semasa waktu malam.

“Ini adalah kerana ketiadaan lampu jalan di sesetengah lokasi jalan tersebut serta permukaan jalan yang tidak rata dan beralun yang membahayakan pengguna jalan raya itu,” katanya dalam satu kenyataan pada 31 Jan.

Henry turut berkata kadar penggunaan bagi Jalan Bau-Batu Kitang tersebut adalah amat tinggi memandangkan jarak dan masa perjalanan adalah lebih singkat berbanding daripada Jalan Bau-Batu Kawa terutamanya semasa waktu puncak di sebelah pagi dan petang.

“Dengan kelulusan cadangan projek ini, diharapkan pengguna jalan raya dapat menikmati perjalanan yang lebih selesa dan selamat,” ujarnya. — DayakDaily