KPDNHEP terus pantau bekalan dan kenaikan harga ayam

KPDNHEP inspecting prices of goods (File photo).

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 23 Julai: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan sentiasa memantau kecukupan bekalan ayam dan memastikan tiada isu kenaikan harga ayam di pasaran secara tidak munasabah.

Kementerian tersebut berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pemain industri yang terdiri dari pengimport, pengeluar, pembekal makanan ternakan dan penternak bagi mencari solusi terbaik dalam menangani masalah kenaikan harga makanan ternakan ayam yang membebankan penternak.

“KPDNHEP sentiasa memantau kecukupan bekalan ayam dan memastikan tiada pihak mengambil kesempatan disebabkan kenaikan kos pengeluaran (makanan ternakan ayam) dengan menaikkan harga ayam di pasaran secara tidak munasabah.


“Pemeriksaan dan tindakan dilaksanakan secara harian di setiap rantaian pengedaran bekalan meliputi ladang, pemborong, pengedar dan peruncit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KPDNHEP turut mengambil maklum berita yang dikeluarkan oleh Akhbar Utusan Malaysia berkenaan kenaikan harga makanan ternakan yang telah memberikan kesan kepada prestasi jualan salah seorang penternak di Kedah.

Jelasnya, berdasarkan rekod, penternak daripada Kedah tersebut merupakan sebuah syarikat persendirian yang menternak, memproses dan menjual ayam di sekitar Kedah dan Perlis dan mempunyai rantaian pengedaran yang luas di sekitar kedua-dua negeri berkenaan.

Syarikat ini juga merupakan pembekal produk segar beku (produk sekunder) seperti keratan ayam dan sosej. Syarikat ini antara yang terkesan prestasi jualannya kekurangan permintaan akibat penutupan restoran, kedai makan dan kantin sekolah serta Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“KPDNHEP ambil maklum situasi semasa yang dihadapi oleh peniaga dan industri dalam pasaran terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menetapkan prosedur operasi standard (SOP) sektor perkhidmatan makanan seperti restoran, kedai-kedai makan dan seumpamanya dihadkan untuk beli dan bungkus sahaja.

“Situasi ini jelas memberikan kesan kepada volume permintaan bekalan ayam yang menunjukkan penurunan yang amat ketara.

“Susulan ini juga, Kementerian sentiasa membawa isu kesan penutupan sektor-sektor makanan termasuk industri ayam kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan cadangan supaya aktiviti yang boleh meningkatkan permintaan kepada bekalan ayam dapat dibuka dan juga membenarkan dine-in disegerakan.

“Selain itu, usaha berterusan dilaksanakan iaitu mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian, agensi dan industri bagi memastikan mana-mana industri dapat meneruskan operasi perniagaan dengan sebaiknya sepanjang pandemik ini,” katanya lagi.

KPDNHEP juga memberitahu bahawa program vaksinasi akan dapat memulihkan semula permintaan bekalan ayam dalam pasaran apabila lebih banyak sektor peruncitan seperti perkhidmatan penyediaan makanan dapat dibuka dan dine-in dibenarkan.

Dalam masa yang sama, Kementerian juga mempunyai sebuah Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) yang akan dilaksanakan dan menggalakkan lebih banyak peniaga mendaftar untuk mendapatkan vaksinasi untuk pekerja masing-masing bagi membolehkan lebih banyak lagi sektor dibuka untuk beroperasi. — DayakDaily