Sarawak eksport ayam ke Semenanjung?

Azman (dua dari kiri) memantau bekalan dan harga ayam di Medan Niaga Satok.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 28 Mei: Cadangan bekalan ayam Sarawak dieksport ke Semenanjung merupakan satu pendekatan baik untuk dibincangkan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Azman Mohd Yusof.

Menurut beliau, ia juga selaras dengan pemansuhan permit import (AP) dimana kebenaran diberi kepada peniaga untuk mengimport ayam daripada luar negara.


Katanya, bekalan ayam untuk keperluan penduduk Sarawak adalah mencukupi dan kaedah digunapakai oleh penternak harus dicontohi.

“Tiada isu kalau boleh bantu Semenanjung sebab kita dalam negara yang sama dan kita sudah mansuhkan AP, maknanya boleh import dari negara luar.

“Perkara ini boleh dibawa berbincang bersama dengan penternak ayam di Sarawak untuk menampung keperluan di Semenanjung.

“Kolaborasi strategik antara kerajaan negeri atau penternak ayam di negeri ini dengan Semenanjung merupakan satu pendekatan baik untuk difikirkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai melakukan pemantauan bekalan ayam di Medan Niaga Satok di sini, hari ini.

Tambah beliau, sekiranya amalan penternak ayam di Sarawak adalah yang terbaik, ia boleh dijadikan contoh.

Ujar beliau, perbincangan harus dilakukan bersama pihak Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) bagi meneliti dan menggunapakai amalan tersebut di Semenanjung.

“Kita tiada masalah untuk mempraktikan amalan tersebut, asalkan ia membantu menyelesaikan masalah kekurangan bekalan ayam,” katanya.

Baru-baru ini Kerajaan bersetuju untuk memansuhkan keperluan permit import (AP) dan larangan eksport ayam mulai Jun sehingga pengeluaran dan harga stabil. ā€” DayakDaily