Berang gara gara diejek rakan-rakan, pemuda OKU disyaki bakar kereta

Anggota Bomba dari Balai Penyelamat Miri Central memadamkan api pada kereta tersebut sebaik tiba di lokasi.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 23 Julai: Gara-gara berang diejek, seorang lelaki yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) dipercayai telah bertindak mengumpul dan membakar daun kering berhampiran sebuah kereta jenis Proton Saga di perkarangan Perpustakaan Awam di Taman Tunku malam Khamis.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri Central bersama pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Miri telah bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan memaklumkan berlakunya kebakaran sebuah kereta jenis Proton Saga diterima pada jam 6.40 petang.


Pihak Bomba berjaya mengawal kebakaran sekitar jam 7.05 malam.

Operasi pemadaman selesai.

“Api tersebut dipercayai telah merebak dan memusnahkan hampir 50 peratus kereta berkenaan,” ujar Ketua Bomba zon enam Supt Law Poh Kiong.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Miri, Kapten (PA) Usman Harto, dipercayai pemuda tersebut tidak tahan dengan ejekan rakan-rakannya ketika bermain bola sepak di padang berhampiran bangunan perpustakan pada petang itu.

“Lelaki tersebut berusia 21 tahun telah masuk ke kawasan perpustakaan awam berkenaan lalu mengumpulkan daun kering yang berada berhampiran kereta dan menyalakan api, api berkenaan telah merebak dan membakar sebuah kereta saga berwarna hitam yang diletakan hadapan perpustakaan tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima satu laporan mengenai kejadian. — DayakDaily