KPDNHEP siasat penyelewangan barang kawalan subsidi tong LPG

Azman Adam (file pic)

KUCHING, Ogos 3: Kerajaan akan menyiasat aktiviti pemindahan gas petroleum cecair (LPG) dari tong 14kg bersubsidi kegunaan domestik kepada tong LPG 50kg untuk kegunaan industri.

Pengarah Penguatkuasa Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, aktiviti pemindahan barang kawalan dan subsidi secara haram ini dipanggil ‘decanting’.

Katanya, penyelewangan itu akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) 2001.


“Penguatkuasaan menggunakan Akta AMLATFPUAA 2001 ini merupakan tindakan tegas kerajaan terhadap pihak yang menjalankan aktiviti perdagangan yang tidak mengikut undang-undang dan memanipulasi keuntungan yang diperoleh hasil daripada aktiviti perdagangan tidak sah.

“Penguatkuasaan pengubahan wang haram ini memfokuskan kepada kes-kes profil tinggi seperti perlindungan harta intelek, penyelewengan barang kawalan melibatkan LPG, minyak masak, diesel dan petrol serta aktiviti jualan langsung atau skim piramid yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Azman, kementerian telah mengesan aktiviti ‘decanting’ ke tong 50kg (kegunaan industri) dan tin gas untuk kegunaan dapur ‘portable’ 230g.

Ini termasuk dua kes terbaharu yang melibatkan sitaan LPG di Seri Kembangan, Selangor dan Port Dickson, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Azman berkata penguatkuasaan pengubahan wang haram melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi gas petroleum cecair (LPG) telah menghasilkan sejumlah 16 kes dari tahun 2016 hingga 2021.

“Ini melibatkan nilai pembekuan sebanyak RM48,131,041.96, nilai penyitaan RM21,474,456.05 dan seterusnya pelucutan hasil pengubahan wang haram bernilai RM1,154,432.43.,” ujar beliau. — DayakDaily