Wanita PKR Sarawak gesa Muhyiddin letak jawatan sebagai Perdana Menteri

Parti Keadilan Rakyat logo.

KUCHING, 3 Ogos: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menggesa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk segera meletak jawatan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Wanita PKR Sarawak juga menuntut sidang Parlimen harus diadakan secara penuh dan pemberian moratorium pinjaman secara automatik untuk semua.

“Wanita PKR Sarawak mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk peka terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat.


“Ramai yang hilang pekerjaan dan ini menambah kemarahan rakyat. Lebih parah lagi, sistem dan fasiliti kesihatan negara ini pada tahap membimbangkan dan kita dapat saksikan pesakit-pesakit Covid-19 dalam keadaan yang bersesak di hospital.

“Bantuan peralatan seperti oksigen tidak mencukupi. Mohon kerajaan bertindak pantas terhadap masalah rakyat,” katanya.

Tambahnya lagi, suara kemarahan rakyat dan kebangkitan anak muda baru-baru ini yang telah melaungkan tuntutan mereka harus diberi perhatian serius oleh kerajaan. — DayakDaily